BEBERAPA
orang ulama yang berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, keluarga dekat dengan
ulama yang diriwayatkan ini, telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan
Malaysia. Mereka ialah Tuan Husein Kedah Al-Banjari, Generasi Penerus Ulama
Banjar (16 Ogos 2004), Syeikh Abdur Rahman Shiddiq Al-Banjari, Mufti Kerajaan
Inderagiri (23 Ogos 2004), Mufti Jamaluddin Al-Banjari, Ahli Undang-Undang
Kerajaan Banjar, (15 Ogos 2005), Haji Yusuf Saigon Al-Banjari, (22 Ogos 2005)
dan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari, Pengarang Sabil Al-Muhtadin (19
September 2005). Pada judul-judul yang tersebut ulama yang bernama Syeikh
Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari adalah jalur ke atas ulama yang
diriwayatkan ini, sedang Tuan Husein Kedah al-Banjari adalah cucu beliau. Nama
lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin
Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Di antara nama yang digunakan
dalam penulisan ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Khalidi
an-Naqsyabandi. Penambahan perkataan “al-Khalidi an-Naqsyabandi” adalah
berdasarkan sebuah karya beliau judul, “Fat-hul Hadi. Dengan digunakannya
perkataan yang tersebut berertilah ulama yang berasal dari Banjar yang tinggal
di Kedah tersebut adalah seorang sufi, pengamal Thariqat Naqsyabandiyah aliran
al-Khalidiyah. Daripada maklumat di atas jelas bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib
bin Mas’ud al-Banjari sama pegangannya dengan Syeikh Ismail bin Abdullah
al-Khalidi (Minangkabau) yang kedua-duanya hidup sezaman yang menyebarkan
Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah yang tersebut dalam kerajaan
Riau-Lingga dan selanjutnya di Melaka dan Kedah. Sangat kemungkinan bahawa
Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari adalah murid pada Syeikh Ismail
bin Abdullah al-Khalidi yang tersebut, hal ini kerana jika dibandingkan
kemunculan ulama Minangkabau tersebut lebih dulu muncul daripada Syeikh
Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari. *Asal usul Ayahnya Syeikh Mas’ud itulah
yang dikatakan telah menemui syahidnya di dalam peperangan di antara Patani dan
Kedah melawan Siam, iaitu bersama-sama kejadian hilangnya Syeikh Abdus Shamad
al-Falimbani. Datuknya bernama Qadhi Haji Abu Su’ud diceritakan bahawa beliau
pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah
singgah di Kedah. Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah
saja untuk menjadi guru baginda dan rakyat Kedah. Peristiwa yang sama berlaku
pula kepada saudara kandung Syeikh Qadhi Haji Abu Su’ud yang bernama Syeikh
Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari diminta oleh Sultan
Riau-Lingga supaya menjadi Mufti, mengajar istana dan rakyat Riau-Lingga dalam
berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam. Pendek kata semua adik beradik dan
datuk/nenek kepada Syeikh Muhammad Thaiyib adalah ulama-ulama besar yang
terkenal dan tidak asing bagi masyarakat Melayu di seluruh dunia Melayu. Di
Kedah Qadhi Haji Abu Su’ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin
dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan
Mas’ud, iaitu ayah kepada Syeikh Muhammad Thaiyib yang diriwayatkan dalam
artikel ini. Daripada cerita di atas dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang
diriwayatkan ini sebelah ayahnya adalah berasal dari Banjar sedang sebelah
ibunya berasal dari Kedah. *Pendidikan Syeikh Muhammad Thaiyib Banjar-Kedah
dipercayai memperoleh pendidikan asas dari ayah dan datuknya sendiri.
Selanjutnya Syeikh Muhammad Thaiyib juga mempunyai konteks kepada kaum
keluarganya yang menjadi ulama di negeri Banjar, Jawa, Bangka, Belitung dan
Makkah. Banyak kali beliau pulang ke Banjar, atau pergi ke Makkah, atau di
tempat-tempat yang diketahuinya ada kaum keluarganya yang menjadi ulama. Pada
masa usia mudanya lebih banyak menerima pelajaran daripada memberikan
pelajaran. Tetapi manakala beliau telah meningkat tua adalah sebaliknya lebih
banyak mengajar daripada menerima. Tidaklah diragukan bahawa Syeikh Muhammad
Thaiyib tersebut adalah seorang ulama besar, bahkan anak beliau juga seorang
ulama besar yang banyak jasanya dalam pembinaan ulama di Semenanjung Tanah
Melayu. Daripada sebuah kitab judul Miftah as-Shibyan fi ‘Aqaidil Iman oleh
Syeikh Muhammad Zain Nuruddin dapat diketahui sanad atau hubungan pengajian
Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari ialah, “… hamba mengambil ilmu
sharaf, dan nahu, dan fiqh, dan ilmu tasawuf, dan ilmu ushuliddin di dalam
Negeri Bahara Pesisir Kampung Dahari kepada Syeikhina Walidiyi al-murabbiyi
ruhiyi wal jasadiyi al-’Alim asy-Syeikh Abbas, Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi,
ibnu al-Mukarram al-Haji Muhammad Lashub. Ia mengambil daripada asy-Syeikh
Ismail ibnu asy-Syeikh al-Khathib Sikin, dan daripada asy-Syeikh Alim
al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, dan
daripada asy-Syeikh al-Allamah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari
al-Qad-hi, dan daripada Syeikh ‘Ali al-Qad-hi.” Daripada petikan ini dapat
disimpulkan bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari al-Qad-hi
adalah termasuk salah seorang guru bagi Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad
al-Fathani, iaitulah ulama besar dunia Melayu yang terkenal penyusun kitab
‘Aqidah an-Najin, Kasyf al-Litsam, Kasyf al-Ghummah, dan lain-lain. Melalui
sanad ini menurunkan beberapa orang ulama di Sumatera Utara, di antaranya ialah
Syeikh Abbas bin Haji Muhammad Lashub Imam al-Khalidi an-Naqsyabandi dan anak
beliau Syeikh Muhammad Zain Nuruddin, Negeri Bahara Pesisir Kampung Dahari, Sumatera
Utara, penyusun beberapa buah kitab. *Karya Ada tiga risalah karya ulama yang
berasal dari Banjar ini yang telah dijumpai, ialah: 1. Miftah al-Jannah fi
Bayan al-’Aqidah, 2. Fat-hul Hadi, 3. Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan
al-Iman, 4. Bidayah al-Ghulam fi Bayan Arkan al-Islam. Risalah yang pertama,
Miftah al-Jannah, pada satu naskhah catatan diselesaikan penulisan pada 16
Syawal 1247 H/19 Mac 1832 M pada naskhah yang lain pula dinyatakan pada 16
Syawal 1255 H/23 Disember 1839 M. Terdapat pelbagai edisi cetakan, cetakan
Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1321 H dan 1327 H. Dicetak kombinasi
dengan risalah-risalah Ushul at-Tahqiq, Mau’izhah li an-Nas, Tajwid al-Quran
semuanya tanpa menyebut nama pengarang. Dan di tepinya pula dicetak risalah
Asrar ad-Din juga tidak disebut nama pengarang. Risalah yang kedua, Fat-hul
Hadi, diselesaikan hari Isnin, 4 Jumadilakhir 1282 H/25 September 1865 M.
Kandungan membicarakan ilmu tasawuf tentang haqiqat merupakan terjemahan dan
petikan daripada kitab Syarh Tuhfah al-Mursalah Syeikh Muhammad Bin Fadhlullah
Al-Burhanfuri yang disyarah oleh Syeikh ‘Abdul Ghani an-Nablusi. Pada bahagian
akhir kitab Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud al-Banjari menyatakan, “Bermula
yang membangunkan bagi aku pada yang demikian itu, dan jika tiada aku ahli bagi
yang demikian itu, isyarat daripada putera Sultan kami dengan lisan halnya dan
maqalnya serta elok segala perangainya dan af’alnya. Maka bahawasanya ia datang
akan aku dengan kelakuan segala faqir-faqir dan meninggal ia akan segala
pakaian bagi segala amir-amir. Serta bahawasanya ia kamil pada kemuliaan, dan
kekayaan dan rakha. Bermula namanya itu seperti nama seorang Nabi yang asyiq
akan dia oleh Zulaikha …” Risalah yang ketiga (Bidayah al-Ghilman fi Bayan
Arkan al-Iman) dijumpai sebuah manuskrip yang diselesaikan pada tahun 1297
H/1879 M. Hanya sebuah itu saja manuskrip judul ini, tidak terdapat salinan
lainnya. Dalam sebuah manuskrip terkumpul beberapa buah naskhah, bukan karya
Syeikh Muhammad Thaiyib sendiri saja. Pada halaman 3 terdapat tulisan Syeikh
Abdul Muthallib bin Tuan Faqih Kelantan di Mekah, tahun 1307 H/1890 M.
Kandungannya membicarakan mengganti sembahyang yang tertinggal menurut Mazhab
Hanafi yang diamalkan dalam Mazhab Syafie. Halaman 6 sampai halaman 24 berasal
dari tulisan Haji Abdur Rahman bin Haji Wan Thalib di dalam negeri Cenak,
Kampung Temparak (Patani) tahun 1290 H. Membicarakan fiqh dimulai dengan
membicarakan zakat. Halaman 35 sampai 51 iaitulah tulisan/karya Syeikh Muhammad
Thaiyib bin Mas’ud dengan judul yang telah disebutkan. Kandungan karya Syeikh
Muhammad Thayib bin Mas’ud al-Banjari al-Qad-hi ini membicarakan ilmu tauhid,
membahas Sifat Dua Puluh. Daripada yang dipaparkan di atas, terdapat banyak
bukti bahawa Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud banyak meninggalkan karya yang
lain, di antaranya telah dijumpai sebuah naskhah yang beliau karang dalam
bahasa Arab dan di bawahnya diberi makna dengan bahasa Melayu. Di akhir
manuskrip tersebut beliau tulis nama orang tuanya dengan “Mas’ud asy-Syahid”.
Maksud asy-Syahid di sini ialah mati syahid dalam perang fi sabilillah melawan
pencerobohan Siam terhadap Patani dan Kedah. Dengan dijumpai naskhah tersebut
dapat memperkuat sekian banyak cerita masyarakat Melayu terutama di Kedah,
Patani, Pontianak dan Banjar serta yang bertulis pula diriwayatkan oleh Tuan
Guru Mufti Haji Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari yang beliau ceritakan dalam
kitab Syajaratul Arsyadiyah. Juga cerita rakyat yang mungkin ada pihak-pihak
tertentu memandang cerita tersebut sebagai legenda atau dongeng. *Keturunan
Anak-anak Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud di Kedah di antaranya ialah Haji
Muhammad Nashir, Haji Salman, Haji Abdullah dan Haji Abdur Rahman. Haji
Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari yang tersebut menurunkan
seorang anak yang menjadi ulama besar yang sangat terkenal di Malaysia, Patani
dan Banjar. Beliau ialah Tuan Guru Tuan Husein Kedah, atau nama lengkapnya Tuan
Guru Haji Husein bin Muhammad Nashir bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas’ud
al-Banjari al-Qad-hi. Sebahagian jasa Tuan Husein Kedah yang tidak dapat
dilupakan ialah pendidikan pondok yang diasaskannya di Pokok Sena, iaitu
termasuk di antara pusat pengajian pondok yang terkenal di Malaysia pada
zamannya. Sangat ramai murid beliau yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal
baik di Malaysia mahu pun di tempat-tempat lainnya seperti di Indonesia, Patani
dan lain-lain. Tuan Husein pula meninggalkan beberapa buah karangan meneruskan
tradisi datuk nenek beliau mulai dari Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah
al-Banjari lagi. Di antara karangan Tuan Husein Kedah al-Banjari ada yang masih
beredar di pasaran kitab sampai sekarang dan ada juga yang tidak beredar lagi.
Di antara karangan Tuan Husein Kedah cucu Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari
al-Qad-hi ialah: 1. Hidayah ash-Shibyan, diselesaikan tahun 1330 H, 2. Qathr
al-Ghaitsiyah, diselesaikan tahun 1348 H, 3. Bidayah ath-Thalibin, 4. Ushul
at-Tauhid, 5. Hidayah al- Mutafakkirin dan lain-lain..
Tidak ada komentar:
Posting Komentar